Huraian Keratan Akbar Utusan Malaysia
KANAK-kanak sememangnya dianugerahkan dengan bakat, imaginasi dan kreativiti yang luar biasa.
Mengasah bakat mereka seeloknya dimulakan sejak usia muda lagi, kerana pada peringkat ini mereka lebih mudah dibentuk dan menerima tunjuk ajar.
Sebagai ibu bapa terpulang kepada mereka mencungkil dan memupuk bakat tersebut dengan kaedah yang terbaik.
Pertandingan bercerita, berlakon, menyanyi dan menari, menyediakan landasan terbaik untuk kanak-kanak menonjol dan membangunkan daya kreatif mereka.
Selain memperkayakan kehidupan kanak-kanak, ia turut memupuk kreativiti, membina keyakinan dan memperbaiki kemahiran bahasa, pendengaran dan tulisan mereka.
Matlamat itu sedikit sebanyak telah dicapai dalam pertandingan akhir Kreatif Cerita Pendidikan Bestari yang berlangsung sempena Pameran Smart Kids 2005 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini.
Selain gaya bercerita yang menghiburkan, pakaian dan prop yang berwarna-warni turut menceriakan lagi suasana sepanjang pertandingan.
Terbukti, beraksi di atas pentas antara kaedah paling baik bagi membina keyakinan dalam diri kanak-kanak - terutamanya kemahiran bercakap di hadapan khalayak tanpa perasaan gementar atau takut.
Pertandingan dua hari itu menyaksikan 30 peserta dalam saringan berjaya memasuki acara akhir yang dibahagikan kepada tiga kategori - berkumpulan, individu A dan B.
Setiap peserta diberi masa tiga minit untuk mempersembahkan kreativiti cerita masing-masing.
Persembahan menarik sajak Inggeris bertajuk It Is Time For The Rain oleh kanak-kanak Tadika U Bestari dari Taman Rasmi Jaya, Ampang, Kuala Lumpur membolehkan mereka menjuarai kategori kumpulan, manakala tempat kedua dirangkul oleh kumpulan Tadika Kemas AU4 dan ketiga Kumpulan B Tadika U Bestari Taman Rasmi Jaya.
Bagi kategori Individu A pula dimenangi oleh Siti Zulaikha Mohamed Faiz, diikuti tempat kedua oleh Nur Raudhah Nazran dan ketiga, S. Sharmila.
Kepetahan Mohd Zeffy Che Khalid mempersembahkan ceritanya membolehkan dia menjuarai kategori Individu B, manakala tempat kedua diraih Muhammad Ahmad Zahid dan Ummu Nadiah Suhaimi tempat ketiga.
Sementara itu, Siti Nor Zulaikha yang ditemui selepas penyampaian hadiah berkata, dia gembira dan berasa bangga dengan kejayaan tersebut.
Dia mengakui, mulanya terkejut juga kerana dapat memasuki akhir seterusnya menang pertandingan tersebut.
``Saya membuat latihan yang cukup selama dua hari sebelum pertandingan. Saya berterima kasih kepada guru yang mengajar cara bercerita dengan baik,'' katanya.
Siti Nor Zulaikha juga mendapat sokongan padu daripada keluarga terutama ibu bapanya yang membantu menyediakan pakaian yang bersesuaian dengan tema cerita.
Dalam pada itu Mohd Zeffi juga gembira kerana latihan dan kerja keras membuat persediaan tiga hari sebelum pertandingan dengan dibantu oleh ibu bapanya membuahkan hasil.
``Ketika naik pentas tadi berdebar-debar juga. Tapi apabila mula bercerita perasaan takut itu hilang dengan sendiri. Saya berusaha membuat yang terbaik dan tak sangka boleh menang,'' katanya.
Kegembiraan turut dirasai oleh dua rakan baik Azizi dan Haifzan yang menang bagi kategori berkumpulan.
``Mula-mula rasa takut, tapi sekejap saja lebih-lebih lagi selepas tengok kawan-kawan lain menyanyi dan menari,'' kata Azizi.
Sementara itu, jara kumpulan menerima hadiah wang tunai RM1,000 dan buku bernilai RM50 oleh Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, naib juara RM750, buku bernilai RM40 dan ketiga RM500 dengan sumbangan buku RM30.
Manakala 7 hadiah saguhati dengan setiap peserta mendapat sumbangan koleksi buku bernilai RM20 dari Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
Pertandingan Kreatif bercerita anjuran Expomal Sdn. Bhd, Utusan Publications Sdn Bhd dan Utusan Bestari telah menarik penyertaan 100 peserta daripada pelbagai kaum.
Persembahan peserta diadili oleh tiga juri yang diundang khas iaitu Pensyarah Seni Lakon, Norma Nordin, Penolong Pengarah Kurikulum (Prasekolah) Jabatan Pendidikan Selangor, Azilawati Abu Bakar dan Fathaiyah Abdullah (Telekom Smart School).